Sains bukti sembelihan Islam kaedah terbaik

"Dipetik dari Berita Harian Isnin 09.01.2006
Umat Islam akan menyambut Aidiladha esok ketika masyarakat bukan Islam
di Barat terus mempersoalkan mengapa Islam membenarkan perbuatan kejam
dan ganas terhadap haiwan.
Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan
menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak
berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama
ketika amalan korban pada Aidiladha.
Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka
menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka
bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.
Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan
kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan
haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh.
Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.
Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar?
Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.
Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi,
dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan
yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati
ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu
sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.” (Tafsir al-Rahman,
Jakim).
Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa
disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara
selain daripada sembelihan.
Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi
memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat
mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.
Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah
Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah
terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan
segar.
Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar
mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau
kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih
berperikemanusiaan.
Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas
haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan
kesakitan yang amat sangat pada haiwan.
Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat
pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan
haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.
Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan
tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor
haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan
(CBP).
Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan
electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan
jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah
CBP.
Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika
disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama
seperti sebelum penyembelihan.
Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang
kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.
Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak
sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.
Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.
Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam
dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada
saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan
menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan
itu.
Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan
sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit
pada haiwan itu.
Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena
kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan
banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak
selamat untuk dimakan.
Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan
oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada
penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.
Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti
Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan,
kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu
diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan
tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.
Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang
adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit
lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria
serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.
Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40
peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika
Syarikat.
Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati
daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih
menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan
tidak sembelih.
Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah
Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu
sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.
Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.
Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa
belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan
benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.
Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas
bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang
menghantar mesej kesakitan kepada otak.
Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih.
Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih,
bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.
Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr
Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.
Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak
wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang
akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.
Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan,
kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat
leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.
“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.
“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak
menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging.
Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan
ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai
perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.
Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya
menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan
kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti
kejam dan tidak berperikemanusiaan."