IsU :: Nikah Misyar, Syara’ & Adat
qalyubi writes "Masalah
nikah Misyar hangat diperbincangkan oleh masyarakat Malaysia hari ini.
Pelbagai pandangan sama ada pro atau kontra berhubungkait dengan isu
ini.Saya ingin mengajak para pembaca untuk meneliti pandangan ulama
Islam berhubung dengan masalah ini. Berikut adalah terjemahan kepada
fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Darul Iftak Al-Misriyyah (Majlis
fatwa Mesir) daripada teks asal dalam bahasa Arab yang diambil daripada
web islamonline.net.
Terjemahan :
Segala puji bagi Allah swt tuhan pencipta sekalian alam.
Bagi
menentukan adakah sesuatu perkahwinan itu boleh diiktibar (dianggap)
sah di sisi Syara’ perlulah ianya memenuhi syarat-syarat yang
ditetapkan oleh Syara’.
Antara syarat-syarat untuk memastikan bahawa perkahwinan itu sah ialah: 1.Wujudnya kerelaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri.
Jika
lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ ini maka
perkahwinan Misyar ini adalah perkahwinan yang sah selagi mana
perkahwinan ini tidak bertempoh walau apa nama perkahwinan ini
sekalipun. Namun apabila si isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang
berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan
oleh syarak seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk
suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak
tersebut adalah harus di sisi syara’ sepertimana yang dilakukan oleh
Sayyidah Sau’dah R.A. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya
Rasulullah saw bermalam di rumah beliau kepada Saiyyidah Aisyah R.A
Pendapat daripada Fadhilah Al-Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil (Bekas Mufti Mesir)
Perkahwinan
di dalam Islam adalah di antara hubungan kemanusiaan dan sosial yang
paling suci yang dijaga oleh Islam malahan Islam turut menyuruh untuk
diambil segala jalan yang boleh memudahkan perkahwinan di kalangan
manusia, lelaki dan wanita bahkan syarak turut meminta untuk menjaga
perkahwinan dengan mewujudkan satu perjanjian yang kukuh yang
menjelaskan hak-hak dan kewajipan rumahtangga dan kekeluargaan yang
diberkati dengan kalimah Allah.
Perkahwinan adalah dituntut berdasarkan nas Al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 32:
Dan
kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan
kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan
perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada
mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
Allah swt juga berfirman didalam surah al-Rum ayat 21:
Dan
di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis
kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan
dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan
belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda
yang orang-orang yang berfikir.
Rasulullah saw juga bersabda dengan kalamnya yang mulia:
“ Perkahwinan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku.”
Melalui
perkahwinan, berlakulah perlaksanaan Syariat Islam yang dikehendaki
oleh Allah bagi kepentingan manusia menelusuri firman Allah Taala yang
bermaksud:
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi (Al Baqarah ayat 30)
Melalui
perlaksanaan Syariat Islam, ibadah akan sempurna yang kesempurnaan
ibadah itu adalah dituntut dan diperintahkan oleh Allah melalui
firmannya yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan
jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat
kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian
dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan
kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada
sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang
tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Al Zhariat
ayat 56 hingga 58)
Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik
dan mulia ini adalah perkahwinan yang sah di sisi syara’ yang memenuhi
rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan yang digariskan oleh syarak
yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya di dalam Al-Quran dan
Al-Sunnah di samping turut disepakati oleh ulama Islam di setiap zaman.
Ini kerana rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnyalah yang akan
membezakan antara akad nikah yang menepati syarak dan akad nikah yang
diharamkan oleh Islam. Rukun serta syarat nikah ini yang akan menjadi
pembeza yang berterusan sehingga hari kiamat.
Sehubungan dengan
itu, pihak Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Kerajaan Mesir) berpandangan
bahawa nikah Misyar seandainya ia memenuhi syarat-syarat dan
rukun-rukun ini iaitu: keredaan yang sempurna daripada pihak suami dan
isteri, lafaz akad nikah yang mengandungi maksud perkahwinan yang
berterusan, wali daripada pihak pengantin wanita, saksi-saksi yang
memenuhi kriteria yang penuh sebagai seorang saksi yang sempurna dan
pengisytiharan perkahwinan tersebut dengan cara yang pelbagai maka
perkahwinan tersebut adalah perkahwianan yang sah di sisi syara’ dengan
kita tidak lagi perlu memandang kepada apa sahaja jenis istilah yang
diberikan kepada nama perkahwinan itu selama mana perkahwinan itu tidak
diterhadkan kepada tempoh tertentu.
Keharusan nikah ini atas sebab-sebab berikut:
1.Sesungguhnya
Allah SWT telah menjadikan risalah Nabi Muhammad SAW ini sebagai
penutup segala risalah dan Allah swt telah menurunkan al-Quran sebagai
penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah
akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat).
Oleh itu, tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan
manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaiannya di dalam kitab
kepada risalah Nabi Muhammad SAW (Al-Quran). Allah berfirman:
Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini (Al An`am ayat 38)
Istilah
Misyar akan kita dapati sekiranyanya kita meneliti secara terperinci di
dalam sejarah-sejarah para ulama terdahulu dan sekarang. Sesiapa yang
meneliti sejarah pengembaraan umat Islam terdahulu, dia akan mendapati
bahawa terdapat di kalangan generasi terdahulu insan-insan yang
mengembara keluar daripada tanah air demi menuntut ilmu atau berniaga.
Jika mereka singgah di sesuatu negara di tengah perjalanan maka mereka
akan menetap di situ dalam beberapa masa tertentu, lama atau sekejap
seterusnya berkahwin dengan penduduk negeri tersebut dan dikurniakan
zuriat kemudian mereka menyambung kembali perjalanan mereka dengan
meninggalkan isteri sama ada dengan jalan talak atau sebagainya dalam
keadaan isterinya rela dengan perkara tersebut.
2.Di sana hanya
ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan
kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang
menepati syarak. Oleh itu, selain daripada perkahwinan yang sah di sisi
syarak, maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua
agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain
perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Al-Quran telah menerangkan
perkara ini di dalam firman Allah Taala :
Dan mereka yang
menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya
maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang
mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang
melampaui batas (Al-Mukminun ayat 5-7)
Syariat Islamiah telahpun
menerangkan bahawa perkahwinan yang menepati Islam sahaja yang dapat
mengumpulkan antara lelaki dan wanita dengan kalimat Allah di atas akad
yang berterusan dan perjanjian yang kukuh. Oleh itu setiap kehendak
yang jauh daripada perkahwinan yang menepati syarak adalah satu
penderhakaan terhadap Allah dan satu pelampauan batas terhadap garis
panduan yang telah ditetapkan oleh Allah.
3.Seseorang isteri itu
mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang
sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan
pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu.
Perkara ini secara jelas telah ditunjukkan oleh isteri Rasulullah SAW
iaitu Sayyidah Saudah yang secara rela telah memberikan hari yang
sepatutnya Rasulullah SAW bersama dengannya kepada Saiyyidah Aisyah
r.a. Seandainya kerelaan ini tidak menepati syarak maka pasti
Rasulullah akan tidak bersetuju dengan tindakan Sayyidah Saudah.
Oleh
itu setiap syarat yang dibuat yang tidak menafikan tujuan asas dan
maksud utama bagi perkahwinan, maka syarat tersebut adalah sah dan
tidak akan sama sekali mencacatkan akad nikah atau membatalkannya.
Dar
al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) tidaklah bermaksud melalui fatwa ini
untuk menyuruh masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Namun
begitu, pihak Dar al-Ifta’ hanya bertanggungjawab untuk
bersungguh-sungguh menerangkan hukum-hukum syarak yang betul dengan
bersumberkan sumber-sumber hukum daripada Al-Quran dan sunnah baginda
Rasulullah saw serta pendapat para ulama muktabar daripada mazhab
terdahulu.
"