ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund & Winlifund

ABB Fund, Eaindex, Arabic Fund & Winlifund

Yang Diminati : Haram Lagikah ?

Oleh 

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman 

www.zaharuddin.net 

Pelaburan melalui
internet semakin popular hari ini, terutama di kalangan orang awam.
Umat Islam tidak terlepas dari godaan pulangan tinggi yang ditawarkan
oleh syarikat-syarikat ini. Ini menjadikan penyertaannya begitu hebat
dan menggunung hari demi hari. Tanpa memikirkan halal dan haram, atau
hanya dengan kefahaman amat tipis tentang ‘nature’ sesuatu pelaburan
itu dari kaca mata Islam, mereka berbondong-bondong menyertainya dengan
‘keyakinan’ ianya adalah halal atau sesetengahnya tiada endah berkenaan
hukum, yang penting baginya adalah RM RM RM. 

‘Keyakinan’ palsu ini kelihatan terserlah kesilapannya apabila tulisan-tulisan yang disiarkan di web saya http://www.zaharuddin.net/
dan disebar luas oleh yang sukarelawan Islam tersedar melalui email dan
yahoogroups yang pelbagai. Setelah meneliti pelaburan-pelaburan
‘favorite’ ini, ternyata hampir semuanya adalah tidak sah di sisi Islam
secara sepakat ulama. Selain itu ternyata juga bahawa ianya tidak lain
hanyalah ‘pinjaman dengan pulangan Riba’ belaka dan bukannya pelaburan
yang sah atas dasar konsep ‘Mudarabah’ atau ‘Musharakah’ yang diredhai
Allah SWT. Kali ini kita semak sama-sama beberapa isu asas dalam tiga
dana pelaburan yang amat di ‘gilai’ oleh ramai. 

Saya kira, mungkin
ramai juga yang akan berhenti membaca artikel ini di sini akibat teruji
dengan satu perasaan hebat di hatinya, bimbang akan ‘terbaca’ sesuatu
yang tidak enak berkenaan pelaburan yang menjadi penyelesai masalah
kewangan hidupnya. Apapun, saya tiada pilihan lain kecuali menyahut apa
yang dikatakan oleh Nabi SAW « Berkata benarlah walaupun ianya pahit ». 

Saya juga ada mendengar terdapat beberapa indivdu utama pelaburan ini dengan sengaja mengatakan

" Jangan tanya ustaz yang reti, nanti dijawabnya haram, tak pasal-pasal susah kita nak cari ahli"

Bagi saya, ucapan ini tidak lain dari bercanggah dengan kehendak ALLAH SWt yang mengingatkan kita

" Tanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui"

dan juga ertin firman Allah SWT :

" Wala yunabbi uka mishlu khabir" ertinya : "dan tiada
yang dapat memberikan sesuatu jawab yang memuaskan seperti yang
berpengalaman"

ABB Fund, Eaindex, Winlifund & Arabic Fund

Semasa dihujani dengan soalan
berkaitan pelaburan Em-Pay, saya juga dihujani dengan lebih lebat
dengan soalan berkenaan ABB Fund, Winlifund dan Eaindex. Jika saya
jumlahkan semuanya, semua soalan ulangan ini berjumlah lebih 150
kali kepada saya. Pada mulanya, ingin saya abaikan saja kerana
kesibukan tugasan yang rencam, tetapi hari demi hari saya sendiri naik
letih membaca soalan yang sama berulang kali, sehinggalah tergerak hati
untuk mengkajinya bagi manfaat umat Islam setelah beberapa individu
menelefon serta memberi penerangan lisan akan cara pelaburan ini
dibuat. Ia menjadi lebih cepat dan mudah jika ada yang telah
menyertainya menerangkan.

Justeru, saya ingatkan, jiak masih ada yang ingin saya
cepat tolong menyemak pelaburan yang dikehendakinya, anda perlulah
menelefon saya dan menerangkan dengan jelas secara lisan. Hanya
kemudian selepas itu, saya akan ikuti dengan pembacaan ‘line by line’
di web site syarikat terbabit.

Diwarwarkan Halal

Ketiga-ketiga jenis pelaburan
ini pernah dan kerap diwarwarkan ‘halal’ oleh individu yang kurang
biasa dengan displin mualamat Islam. Bagi ABBFund, Winlifund dan
eaindex ia secara tidak sengaja atau sengaja didakwa halal kerana
dikatakan pelaburannya terhad kepada aktiviti halal seperti industri
minyak dan gas, hartanah, getah dan sebagainya yang halal.

Kita perlu memahami
bahawa, apabila kita ingin mengetahui sesuatu pelaburan itu halal atau
haram, kita tidak boleh hanya melihat kepada industri apakah yang
digunakan wang kita itu. Sebaliknya, paling minima kita perlu melihat
dari dua tahap. 

1) Tahap Pertama : Wang dari poket kita kepada syarikat pelaburan .

Inilah tahap yang kerap
dilupakan oleh para peserta ABB Fund & Swiss cash dan sekutunya.
Mereka kerap memfokuskan kepada tempat ABB melaburkan dana
terkumpulnya. Ini tindakan yang kurang tepat kerana kita perlulah
menyemak apakah aqad atau kontrak antara kita dan syarikat Pelaburan
itu terlebih dahulu. Ringkasnya, ia MESTILAH dibuat dengan tepat
menurut kehendak Shariah dan menepati cara dan syarat pelaburan Islam.
Jika tidak, aqad akan batal, maka tiada gunalah lagi untuk mengetahui
di mana dilaburkan dana terkumpul itu.

Sebagai contoh mudah, si A mencuri duit dan kemudian membeli al-Quran dengan duit curi itu.

Hukum adalah jelas
dalam hal ini, walaupun duit itu digunakan dengan cara yang betul di
tahap kedua (membeli Quran), tetapi  kerana tahap pertama (curi) adalah
haram, maka tahap kedua yang baik tidak akanmenjadikan pembelian itu
halal. 

2) Tahap Kedua : Wang kita di syarikat itu dilaburkan dan digunakan untuk industri dan instrumen pelaburan halal atau haram. 

Kajian tahap pertama,
terhadap aqad di antara peserta dengan syarikat ABB ,Eaindex dan
Winlifund ternyata menunjukkan masalah yang sama iaitu :- 

Isu Pertama : ‘Fixed Return’ atau keuntungan yang dijamin.

Telah berkali-kali saya
sentuh isu ini, tapi nampaknya umat Islam masih kabur  dan tidak dapat
menangkap dengan jelas konsep sebenar pelaburan Islam yang dibuat atas
asas Mudarabah dan Musharakah. Saya ingin tegaskan di sini agar saya
tidak ingin lagi ditanya dengan soalan dan skim pelaburan yang sama.
Sebagai panduan utama :

SEBARANG PELABURAN YANG MENJANJIKAN PULANGAN UNTUNG SECARA TETAP ADALAH HARAM MENURUT KONSEP PELABURAN ISLAM.

Saya harap dengan
panduan amat amat mudah ini, semua orang boleh menjadi menentukan ianya
halal atau haram bagi dirinya setiap kali ingin membuat pelaburan. 

Justeru, aqad antara peserta dan syarikat ini telah dikira tidak halal di sisi Islam,

Maka di ketika ini, tiada
gunalah menghabiskan tenaga menyemak tahap kedua. Bagaimanapun , bagi
mendatangkan lebih keyakinan kepada pembaca yang saya kira majoritinya
telah menyertainya, saya akan bantu anda untuk mengesan di mana
silapnya secara ringkas dan padat.

ABB FUND

Hal ini ternyata apabila kita melihat di web ABB Fund di http://www.abbfund.biz/ atau http://abfund.mine.nu/. Kita akan dapati plannya begini : 

ABB Fund Fixed Deposit  

Ini bermakna jika modal
‘pelaburan’ anda USD 20. Setiap hari anda dijamin mendapat pulangan
sebanyak 2 % , dan jika anda letak USD 2000, maka akan mendapat 2.9 %
setiap hari.

WINLIFUND

Adapun Winlifund pula seperti berikut ( rujukan http://www.winlifund.com/investment.html)  :- 

Value

% Per Day

Days

Return

10 USD

2.0 

100 

20 USD

50 USD

2.2 

100 

110 USD

100 USD

2.5 

100 

250 USD

300 USD

2.6 

100 

780 USD

500 USD

2.7 

100 

1350 USD

1000 USD

2.9 

100 

2900 USD

1500 USD

3.0 

100 

4500 USD

ARABIC FUND

 

Berikut pula arabic fund skim..rujuk www.al-arabic.com

Daily Return of Investment (ROI)

 

Capital Daily % 100 Days ROI RETURN
USD 20 2.1% 210% USD 42
USD 50 2.3% 230% USD 115
USD 100 2.5% 250% USD 250
USD 500 2.7% 270% USD 1350
USD 1000 3.1% 310% USD 3100

 

Ia juga menjamin
keuntungan..nama arabic tidak menghalalkan yang haram kerana amat ramai
orang arab yang tidak pun solat (terutama solat Subuh- sya tahu kerana
saya pernah mengaji di Jordan dahulu)). Janganlah terpedaya hanay
dengan nama arab.

EAINDEX

Manakala Eaindex pula sebagaimana berikut (http://www.eaindex.com/index.php ) :- 

* Minimum Index Code Purchse is $ 20

Code Types

Value

Percentage

Days

Total Percentage

Index20 Code

$      20 

1.8 % per day

100 

180 % 

Index1000 Code

$ 1,000 

2.0 per day 

100 

200 %

Index5000 Code

$ 5,000 

2.3 % per day 

100 

230 % 

Ini bermakna jika modal
‘pelaburan’ anda USD 20. Setiap hari anda dijamin mendapat pulangan
sebanyak 1.8 % , dan jika anda letak USD 1000, maka akan mendapat 2.0 %
setiap hari dan jika diberi pinjam USD 5,000 akan dibalas dengan riba
sebanyak 230 %. Dalam masa 100 hari. Secara sepakat ulama Shariah silam
dan kontemporari, jaminan untung ini adalah namanya RIBA dan bukan
pelaburan. Saya juga telah mengulas perkara ini semasa saya menulis
berkenaan Swiss Cash dan juga Em-pay.

EAINDEX dengan terus terang menyebut di laman webnya

"
EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by
providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each
index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from
inception"

Adakah anda perasan perkataan
‘FIXED RETURN’ yang dinyatakan ? Inilah yang dikatakan Riba. Kerana
Pelaburan yang diiktiraf Islam tidak dibenarkan menjamin sebarang
keuntungan, hanya anggaran dan andaian sahaja serta pihak pengurusannya
tidak membuat sebarang janji untuk memberi untung itu.

Demikian keputusan yang
disebut secara sepakat oleh ulama silam, iaitu kontrak pelaburan itu
tidak sah menurut Islam. Dan semua untungnya juga tidak sah. (Rujuk
Bada’i as-Sonai’, Al-Kasani, 5/119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 5/281 ;  Mughni
Al-Muhtaj, 3/404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/44)

Manakala Majlis
Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI yang saya sebutkan nama pakar-pakarnya
di bawah telah membuat  keputusan berikut, berikut teks fatwanya :- 

إذا شرط أحد الطرفين لنفسه مبلغاً مقطوعاً , فسدت المضاربة 

Ertinya : "Apabila
mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan
pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu" ( Al-Ma’ayir
As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240) 

Jaminan untung tertentu dalam
sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai
haram kerana ia adalah Riba. Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah
Fiqh menyebut :

أن الخراج بالضمان

Ertinya : "(Bagi
mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi
risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti
menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)
"  (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; Albani : Hasan) 

Justeru sebarang
pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di
atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti
ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini
menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest)
yang dijamin. Ia adalah haram dan kontrak menjadi batal menurut sepakat
Ulama. 

Isu Kedua : ‘Commodity Futures’ dan Forex

Adapun sekiranya, tahap
pertama tadi berjaya, kita wajib memeriksa tahap kedua pula. Apabila
saya merujuk dan membaca ‘line by line’ penerangan berkenaan ABB Fund
dan Winlifund. Eaindex ternyata ia bukan sahaja melabur di dalam
industri minyak dan gas sebagaimana yang difahami, ini disebutkan di
web ABB 

major oil companies, energy services, oil and gas exploration and production companies, and natural gas pipeline companies.,

tetapi ia juga terlibat menggunakan perniagaan ‘commodity futures’ dan Forex bagi meraih keuntungan.

Ini disebutkan dari petikan dari webnya iaitu : 

The
ABFUND program is a long term high yield private investment program
managed by a group of professional traders specialize in trading on
equity market,
currencies, major market indexes and energy commodity futures markets.
Our successful trading record has maximize high yield return to our
investors’ investment and we are paying real-time in daily basis
through the PAY-IT 4 PROFIT SYSTEM.
 

Beirkut pula dalam web Winlifund (http://www.winlifund.com/market.html

" Basically, the markets are categorized into: Equities , Commodities  Currencies, Real Estates " 

Anda nampak perkataan
CURRENCIES, itulah perniagaan berkaitan Forex, telah saya bawakan
kajian dan keputusan Majlis Penasihat Shariah Dunia di artikel saya
ketika mengulas isu Swiss Cash, sila buka link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72

Berkenaan ‘Commodity Futures’
pula, saya amat pasti, para ustaz yang tidak terlibat dengan industri
perbankan dan kewangan di Malaysia atau antarabangsa, AMAT SUKAR UNTUK
MEMAHAMI apakah erti ‘commodity futures’, apatah lagi mengulasnya dari
sudut hukum, mungkin membaca tulisan saya ini pun boleh dilanda
‘migrain’.

Ia perkara biasa dan
boleh diterima, kerana setiap ustaz mempunyai pengkhususan
masing-masing, seperti saya yang tidak mahir dalam bidang ‘faraid’
(pembahagian harta pusaka), tiada apa yang perlu dimalukan dan aib.
Cuma yang aib adalah berlagak ‘specialist’ dan pakar lalu memberi fatwa
dalam bidang yang bukan bidang anda, dengan mudah anda boleh
ditertawakan atau disanggah oleh ‘specialist’ kelak dengan hujjah
‘check mate’. 

Justeru, saya
menasihatkan orang ramai yang menjadikan ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ sebagai
kiblat dalam pelaburan ini memastikan mereka benar-benar ‘specialist’
dalam bidang ini, untuk itu cuba meminta penjelasan kepada ustaz yang
diikuti ini, apakah ‘Commodity Futures’ dan bagaimana ABB Fund ini
boleh menjadi halal bila terlibat dengan commodity futures?. 

Sedangkan Majlis
Penasihat Shariah Institusi Kewangan Dunia telah membuat keputusan
bahawa (Rujuk keputusan no 5/1/2, Al-Ma’ayir As-Shariah, hlm 371 ;
Keputusan Persidangan Dallah AlBarakah, tahun 1999, no 17/1): 

TIDAK HARUS
(HARAM) DARI SUDUT SYARA’ UNTUK BERURUSAN DENGAN ‘FUTURES CONTRACT’
(termasuk Commodity Futures) SAMADA MEMBUATNYA, MEMBELI DAN MENJUALNYA.

Ia menjadi haram kerana sebab berikut :- 

 

a) Penjualan beli komoditi secara tangguh bayaran dan penghantaran komoditi yang dijual. Ini menyebabkan ia tergolong dalam hadith, berkatalah Ibn Umar : 

أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الكالئ بالكالئ 

Ertinya :
"Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari menjual hutang dengan hutang"
(Riwayat Ad-Dar Qutni ; At-Tabrani, Al-Hakim : Sohih atas syarat Imam
Muslim ; Naylul Awtar , no 2187 ; 5/174 )

Imam Ahmad, Ibn Munzir, Ibn
Rusyd, Ibn Quddamah, Ibn Taymiah , As-Syubki dan  Imam As-Syawkani
menyebutkan bahawa telah Ijma’ seluruh ulama bahawa haram membeli
secara tangguh serahan barang dan juga tangguh serahan bayarannya.
(Al-Mughni, 4/53 ; Bidayatul Mujtahid, 2/162 ; Az-zarqani ala Muwatta,
3/308)

 

b) Menurut kebiasaannya penjual secara ‘futures’ ini menjual komoditi yang belum berada dalam miliknya. Ini dilarang oleh Nabi SAW sebagaimana hadith

لا تبع ما ليس عندك 

Ertinya : "Janganlah
(dilarang) kamu menjual sesuatu yang belum dimiliki olehmu" (Riwayat
At-Tirmidzi , no 1232 , Albani : Sohih )

Selain dua sebab ini terdapat
2 sebab lain yang menyebabkan Majlis Ulama Fiqh mengharamkannya.
Termasuklah unsur perjudian yang wujud. Bagaimanapun, cukuplah dua
hujjah ini untuk saya dedahkan kepada awam agar infomasi yang diberikan
tidak begitu berat. Sesiapa yang berminat boleh rujuk di artikel saya
tentang Swiss Cash, telah saya ulasnya http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=157&Itemid=72
 

Sebagai makluman,
keputusan ini dibuat setelah sepakat seluruh Ulama Fiqh SeDunia bersama
perbincangan pakar ekonomi. Ahli Majlis Penasihat Shariahnya dianggotai
oleh ulama seperti berikut :- 

  1. Sheikh Mufti Taqi Uthmani (Hakim Syarie Mahkamah Tinggi, Pakistan - Pengerusi) 
  2. Sheikh Abdullah Bin Sulaiman Al-Mane (Hakim Mahkamah Mekah) 
  3. Sheikh Prof. Dr. Muhammad Siddiq Ad-Dharir ( Prof Shariah, Univ Khartoum, Sudan) 
  4. Sheikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof Shariah, Univ Damsyiq, Syria) 
  5. Sheikh Prof. Dr ‘Ajil An-Nashmi ( Prof Shariah, Univ Kuwait) 
  6. Sheikh Husayn Hamid Hassan (Pengerusi Majlis Penasihar Shariah, Dubai Islamic Bank, UAE) 
  7. Sheikh Abd Rahman Al-Atram ( Penasihat Shariah, Ar-Rajhi Investment Bank, Saudi) 
  8. Sheikh Ali Tashkiri ( Setiausaha Agung, Kesatuan Dunia ‘Taqrib’ Sunnah dan Syiah, Iran) 
  9. Sheikh Dato’ Ghazali Abd Rahman (Ketua Hakim Syarie, Malaysia) 
  10. Sheikh Al-Ayyashi As-Sadiq Al-Faddad ( Ma’ahad Penyelidikan Islam, Islamic Development Bank, Saudi) 
  11. Sheikhuna Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Kumpulan Perbankan Dallah Al-Barakah Sedunia) 
  12. Sheikh Ahmad bin Abdullah ( Setiausaha Agung, Majlis Penasihat Shariah, Sudan) 
  13. Sheikh Nizam Ya’qubi (Majlis Penasihat Shariah, Bahrain Islamic Bank) 
  14. Sheikh Nazih Hammad (Majlis Penasihat Shariah, Citibank Islamic ) 
  15. Sheikh Dr Mohd Daud Bakar (Pengerusi, Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan, Malaysia) 

Itulah ahli Majlis yang
membuat keputusan itu, saya tidak pasti jika anda masih mempercayai
orang tertentu di Malaysia sedangkan ia telah dibincangkan oleh
pakar-pakar seperti di atas.

Isu Ketiga  : Syarikat yang amat diragui

Selain itu, walaupun
perniagaan minyak dan gas, eletrik,  adalah halal, dokumen-dokumen
utama dan cara jual belinya dilakukan hendaklah disemak oleh sebuah
Majlis Penasihat Shariah terlebih dahulu agar semua rukun dan syarat
jual beli diikuti.

Sebagai contoh, Majlis Penasihat Shariah Dow Jones Islamic Fund, sila buka laman mereka di http://www.investaa.com/
; sebelum meluluskan sebarang syarikat yang boleh di sahkan halal,
mereka akan mengkaji dengan teliti, antara contohnya mereka akan
memastikan syarikat tersebut tidak mempunyai pinjaman konvensional
lebih dari 30 % dan banyak lagi kaedah semakannya. 

Selain Dow Jones Islamic,
anda boleh merujuk cara semakan dan pengesahan yang dibuat Jabatan
‘Islamic Capital Market’ di Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Dengan itu
anda akan mengetahui bagaimanakah cara mereka mengesahkan sesebuah Dana
Pelaburan itu untuk boleh sebagai halal. Inilah antara kerja di
Suruhanjaya Sekuriti di Jabatan Pasaran Modal Islam.

Tidak perlulah saya dedahkan
kaedah ‘screening’ mereka kerana ianya agak teknikal dan hanya akan
memeningkan orang awam yang tidak berpengalaman dalam hal pelaburan.
Kesimpulan saya di sini adalah, ABB Fund dan EAindex tidak pernah
memikirkan tentang halal haram, mereka adalah Kapitalis yang hanya
mencari untung semaksimum mungkin tanpa mengendahkan displin Islam,
jika tidak mereka sudah tentu melantik pakar-pakar Shariah untuk
menyemak pelaburan mereka.

Dengan tiga hujjah ini
pun sudah jelas, dan tidak perlu lagi saya mendedahkan kepincangan
Shariah dalam system agensi dan commission memperkenalkan ahli bawah
mereka. Jika tiga isu tidak lepas, yang lain juga tiadalah gunanya. 

RUNGUTAN & RESPOND

"Kalau macam tu, semua
haram ustaz, Bank Negara, kereta, rumah, ekonomi kita, negara kita,
kedai runcit dan lain-lain" Demikian luahan tak puas hati yang pasti
akan kedengaran bila artikel ini dibaca. 

Inilah jenis respond
‘cari makan’ apabila sudah didedahkan satu persatu bahawa pelaburan
yang disertainya adalah bercanggah dengan hukum Allah SWT. Iaitu, cuba
mengaitkan dengan perkara lain agar kelihatan mustahil untuk
mengelaknya, selain itu ada juga yang akan mula mempersoalkan kewangan
peribadi saya pula. Padahal, ia tiada kaitan dengan hukum pelaburan
mereka. Ia dibuat hanya untuk mengubah focus isu ini kepada topic lain. 

Nasihat saya, janganlah
menjadi tidak teliti tentang hukum sebelum melabur hanya kerana ia
membawa keuntungan lumayan. Membuat kesimpulan umum tanpa ilmu hanya
membawa masalah dan kemerbahayaan kepada diri sendiri. Saya tidak
punyai masa yang panjang untuk menjelaskan satu demi satu. Cukup saya
katakan, bahawa lebih mudah untuk saya menjelaskan secara ‘lisan’ dari
menulis.

Justeru, anda boleh menemui
saya atau mendaftar di kursus kewangan Islam yang akan diadakan 24
Februari 2007 jika anda ingin mengajukan soalan seperti itu. Saya tidak
mahu mempromosi kursus itu di sini, kerana itu saya katakan, anda masih
boleh mengajukannya secara telefon dan berjumpa saya di kuliah-kuliah
bulanan saya di serata lembah Klang secara percuma. Saya kira, saya
mampu menerangkannya dalam masa 5-15 minit sahaja.

HUJJAH POPULAR UNTUK MENGHARUSKAN YANG HARAM

Hujah-hujah ‘favorite’ dan rapuh yang kerap digunakan mereka adalah seperti berikut : 

  • Hujjah Pertama Mereka : "Apa salahnya, bukankah ia boleh meningkatkan ekonomi  umat Islam", 

Jawapan saya :
"Ekonomi umat Islam hanya boleh berkembang bila ada unsur keberkatan.
Bermuamalah dengan yang haram, adalah tiada berkat dan pasti tidak akan
berkembang sampai bila-bila. Jika berkembang, ia hanya menambahkan dosa
seperti melahirkan lebih banyak si tamak, penipu, pemberi dan penerima
rasuah dan lain-lain unsur jahat yang secara senyap menghancur sesebuah
masyarakat. Ia disebut oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 278 :
"Allah memusnahkan keberkatan dari harta Riba.." 

  • Hujjah Kedua Mereka  : "Maslahat"

Jawapan saya : Saya telah jawab isu penggunaan maslahat ketika mengulas isu ASB. Boleh rujuk artikel di link http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=224&Itemid=63….Kesimpulannya ia adalah ‘Maslahat Mulghah’ iaitu Maslahat yang tertolak. 

  • Hujjah Ketiga Mereka   : "Jika tiada duit maka buat kebajikan pun tak boleh" dan yang sepertinya. 

Jawapan saya : Sebuah hadith menyebut :  

من جمع مالاً من حرام ثم تصدق به , لم يكن له فيه أجر 

Ertinya :
Barangsiapa yang megumpulkan wang haram dan kemudian bersedeqah
dengannya( membuat kebajikan ) , maka tiadalah sebarang ganjaran
kebaikan untuknya ( Riwayat Al-Hakim, 1/390; Ibn Hibban, no 797 : Sohih
menurut Ibn Hibban dan Al-Hakim, dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani :
Dhoif)

  • Hujjah Keempat Mereka  : "Sampai tahap dharurat"

Jawapan saya
: Ini adalah anggapan tidak sah, kerana dharurat adalah sesuatu perlara
keperluan asas yang jika tidak dilakukan maka seseorang boleh hilang
nyawanya. (Rujuk Al-Muwaqafat, As-Syatibi). Saya percaya ramai orang
tidak melabur, tetapi masih hidup aman damai.

  • Hujjah Kelima Mereka  : Ada hadith kata " tak boleh lari dari riba di akhir zaman, semua akan kena debunya"

Jawapan saya : Saya telah ulas bahawa hadith ini dhoif menurut imam Al-Munziri dan Albani. 

  • Hujjah Keenam Mereka  : "Tak mengapa nanti kami bersihkan sebahagian bonus dengan mengeluarkan zakat"

Jawapan saya : Syarat
wajib zakat ke atas Muslim adalah memiliki harta itu dengan sah dari
sudut Islam, dikeluarkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT
(Rujuk Al-Badai’ As-Sona’i, Al-Kasani, 2/4 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi,
11/171; Ad-Deen Al-Khalis, 8/84) . Jelasnya, zakat tidak boleh
menyucikan harta yang haram, ia hanya boleh menambahkan berkat bagi
harta yang didapati dengan cara halal. Secara sepakat ulama bahawa
tiada zakat ke atas harta haram tetapi yang diperlukan adalah
melupuskannya (Qadhaya Az-Zakat Al-Mu’asiroh, Dr Naim Yasin, 2/208 ). 

Marah dan Menyekat Untung

Saya pasti ada yang amat
marah kerana ia telah mempunyai rangkaian yang cukup luas dan
keuntungan pun sudah mencurah masuk ke akaun dengan lebat sekali. Apa
yang boleh saya nasihatkan hanyalah hadith Nabi yang telah saya
nyatakan dahulu iaitu

كل لحم نبت  من سحت فالنار أولى به 

Ertinya : "Setiap
daging yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka lebih layak
untuknya" ( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil ‘Iraqi, 2/9207 ;
Ithaf As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)

Sebagai penambah
kesedaran kita semua, suka saya nyatakan bahawa pelaburan ABB Fund,
Winlifund, Em-Pay, Swiss Cash, EAindex adalah tidak sah menurut
pandangan ulama dan semuanya terlibat dengan Riba dengan jelas. 

Saya juga sedar betapa
besarnya ujian jika saya berada di tempat pemain, pelabur dan pelopor
abb fund, eaindex dan sudah meraih untung ribu-ribu..memang sukar.

Cuma suka saya ingatkan
bahawa, lagi sukar sesebuah ujian, sudah tentu pahalanya juga lebih
besar, sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah
r.a dalam sebuah riwayat :

"Pahala kamu adalah berdasarlah tahap keletihan dan kesukaranmu’


Bergembiralah bagi sesiapa yang berjaya mengekang
nafsunya demi untuk kebahgian di barzakh.. pastinya Rasulullah SAW
berbangga dengan anda !!

Malah saya juga merasakan, pahala individu yang sanggup
berhenti kerana Allah ini mungkin lebih hebat dari saya yang menulis
jawapan ini. Allahu akbar.!

Sebagai akhirnya,
tahukah anda setara mana besarnya dosa Riba iaitu duit untung yang
diperolehi dari ABB Fund, Winlifund, EAindex, Em-Pay ini?. Saya
nyatakan disini bahawa. 

Imam An-Nawawi rh
berkata : "Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan
ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba
diharamkan oleh semua agama, antara yang berpendapat demikian adalah
Imam Al-Mawardi" (Rujuk Al-Majmu’, 9/391 ) 

BAHAYA DAN KECELAKAAN DARI RIBA

Di sini, saya sertakan
beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya
dosa riba yang menjadi sebab mengapa saya menumpukan masa yang lebih
bagi menyelematkan masyarakat Islam darinya.

 

a)Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW. 

Ia berdasarkan Firman Allah SWT :

Ertinya : "Wahai
orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan
tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman,
sekiranya kamu tidal meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan
Allah dan RasulNya"
(Al-Baqarah : 278)

Dalam ayat ini jelas
menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk
meninggalkan ‘saki baki’ riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka
ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya.
Ayat ini menyebut ‘saki baki’, menunjukkan bahawa barangsiapa yang
ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia
berpengetahuan jelas tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara
seratus peratus.

Saya sering terfikir,
bagaimanakah sunnah dapat ditegakkan, Negara Islam tulen dapat
dibangunkan, masyarakat soleh dapat diasaskan dengan hidup dikelilingi
‘virus’ Riba ini. Sedangkan zahir ayat di atas tadi membayangkan
peperangan itu berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi setiap
individu dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini. 

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :

Ertinya : "Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT"  (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366) 

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : " Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan"  (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : "Telah ku
membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku
dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam
mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami’ Li Ahkam
Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 ) 

Berkata Imam Qatadah rh : " Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada" (at-Tabari, 3/72 )

 

b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan. 

Allah SWT berfirman :

Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" ( Al-Baqarah : 276 ) 

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

Di Dunia
: Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba
adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta tersebut dari
pemiliknya  kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah dan membawa
dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir (walaupun ia
mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan menjadi sebab
ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan
diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah, cenderung kepada
rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta
yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang
terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf
al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982 ,
1/224).  Sabda Nabi SAW dari Ibn  Mas’ud r.a :- 

Ertinya : "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa" ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 ) 

Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

Ertinya : "Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362  ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

c) Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri 

Dosa individu terlibat
dengan Riba juga adalah seperti berzina dengan ibu bapa sendiri, saya
kira, hadith di bawah sudah tidak perlu huraian lagi lantaran
kejelasannya. 

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : " Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

d) Lebih Berat dari 36 Kali Zina. 

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : "Satu
dirham Riba  yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia
mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali" (
Musnad
Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam
Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm
103 )

Hadis ini bukanlah untuk
merendahkan dosa zina, tetapi ia memfokuskan kepada besarnya dosa riba.
Justeru, saya amat mengharapkan umat Islam membuka mata mereka kepada
isu ini.

e) Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar 

Ia berdasarkan hadith nabi SAW :

Ertinya : "Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari
dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci
dengan zina ( tanpa saksi adil) " ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Jika kumpulan dalil ini
masih tidak mampu menyedarkan anda dari keuntungan dunia yang
sementara, Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas segala yang kita
lakukan. Justeru, saya tiada sebarang komen lagi. 

Saya ucap tahniah bagi
sesiapa yang mampu membaca satu persatu tulisan ini ke tahap ini. Ini
bermakna anda sememangnya masih mempunyai iman di hati dan masih
berfikir tentang urusan halal haram. Kini ilmu telah ada, maka tindakan
sahaja yang diperlukan. 

Akhirnya, cukuplah
sekadar ini huraian ringkas saya, samada pembaca dan peserta semua dana
pelaburan Riba ini ingin berhenti atau tidak, itu terpulanglah kepada
empunya diri masing-masing. Tugas saya secara sukarela yang saya
jalankan hanyalah mendedahkan kebenaran yang tidak dapat lagi
disembunyikan. 

Saya juga pasti ramai
yang ingin berhenti tetapi tidak tahu apa yang ingin dilakukan dengan
keuntungan yang masuk, bagaimana ingin mendapatkan kembali modal,
haruskah untuk mendapatkannya kembali dan pelabagi lagi bermain di
kepala. InshaAllah saya akan cuba menulis dalam artikel lain. Kerana
tidak mahu memanjangkan lain artikel ini. 

Sekian 

Ust Zaharuddin Abd Rahman 

http://www.zaharuddin.net/ 

29 Muharram 1428 H 

17 Februari 2007

Leave a Reply