EM-Pay : Pelaburan Halal Atau Haram ?
EM-Pay : Pelaburan Halal Atau Haram ?
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
SOALAN
Assalamualaikum Ustaz Zaharudin,
Sepanjang minggu ini, saya
sering kali terdengar dn sering kali juga di syorkn oleh sahabat2 saya
mengenai pelaburan EM-PAY ini..
Seperti keterangan Ustaz mengenai " Pelaburan FOREX & Swiss Cash Mutual Fund : Pandangan Shariah "..
Dikesempatan ini, saya juga
ingin mendapatkn penjelasan Ustaz mengenai "Pelaburan EMPAY" ini adakah
sah mengikut Hukum Syariah Islam ?
Harap makluman daripada Ustaz dan diakhiri dgn ucapan terima kasih
Dari,
Hana
JAWAPAN
Saya anggarkan sekitar 80
kali pertanyaan di ajukan kepada saya dalam bentuk email, sms termasuk
melalui web site saya, bertanyakan berkenaan hukum pelaburan Empay ini.
Demi membantu individu bertanya yang saya kira baik agamanya (kerana
masih memikirkan tentang halal haram dalam pendapatannya berbanding
sesetengah yang lain yang langsung tidak memperdulikan sumbernya), maka
secara keseluruhannya saya telah memperuntukkan masa sekitar 4 jam
untuk membuat kajian dan tulisan ini.
Sebelum itu, saya perlu
ingatkan bahawa saya kerap mendengar terdapat individu yang cuba
mengharuskan apa saja yang berkait dengan Riba dengan menggunakan
berhujjah menggunakan hadith :-
ليأتينّ على الناس زمان لا يبقى أحدٌ إلا أكل الربا فإن لم يأكله أصابه من بخاره
Ertinya : Akan datang
satu zaman dimana tidak terkecuali seorang pun kecuali ia makan Riba
dan jika ia tidak makan sekalipun, ia akan ditimpa debu-debunya"
(Riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun, hujjah ini
tidak boleh diterima untuk bersikap senang-senangan dengan Riba
terutamanya tahap hadith ini yang lemah menurut Imam Al-Munziri kerana
perawinya bernama Al-Hasan tidak pernah bertemu dengan Abu Hurairah r.a
(ini kerana menurut hadith ini dikatakan al-Hasan mendapat kata-kata
Nabi SAW ini dari Abu Hurairah) - Rujuk Sunan Abu Daud dengan tahqiq
Albani, hlm 374, no 3332. cet Bayt Al-Afkar.
Apa itu Empay ?
EM-Pay adalah satu gabungan program loyalti EM-PAY dan IPC SHOPPING
dimana anda diberi pelbagai ganjaran dalam bentuk diskaun dan juga
over-riding komisyen dari penajaan serta perbelanjaan ahli-ahli dibawah
rangkaian anda.
Berikut beberpaa isu yang
sempat saya keluarkan, banyak lagi jika ingin diperincikan, tetapi
cukuplah saya ulas beberapa sahaja. Dengan wujud beberapa isu inipun
sudah boleh memberikan gamabar penuh tentang hukum penyertaannya.
ISU PERTAMA : MEMBELI KAD DISKAUN
Disebutkan di dalam web empay
bahawa setiap peserta akan diberikan satu kad diskaun. Ia adalah dikira
seperti produk. Ia disebut seperti berikut :-
Melalui program EM-PAY, anda akan diberi satu KAD PREVILAGE di mana anda layak mendapat :-
-
DISKAUN
Anda
akan diberikan diskaun sekiranya anda membuat pembelian dimana-mana
merchant yang berdaftar dengan IPC SHOPPING. Jumlah peratusan diskaun
bergantung pada perjanjian diantara Merchant dengan IPC SHOPPING.
Maklumat terperinci akan dihebahkan dalam laman web EM-PAY yang bermula
pada hari pelancaran yang akan dibuat dalam jangkamasa yang terdekat.
-
REDEMPTION POINT
Anda
juga layak menerima bonus over-riding dari pembelian barangan ahli-ahli
dibawah rangkaian anda sebanyak 0.1% sehingga 10 level bermula dari
ahli-ahli tajaan terus (Direct sponsor) anda.
Pandangan Shariah Tentang Kad Diskaun :
Organization of the Islamic
Conference, Islamic Fiqh Academy atau Kesatuan Fiqh Sedunia dalam
sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu
telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1) memfatwakan bahawa:
Semua jenis kad yang menawarkan keistimewaan diskaun harga apabila digunakan di tempat-tempat dan perkhidmatan tertentu.
Hukum : Jika kad tersebut
mensyaratkan pembayaran yuran tahunan yang besar ( jika hanya sekadar
RM 12 seperti beberapa kad pasaraya, ia halal kerana ia sekadar harga
sekeping kad) dan bulanan atau apa jua yuran yang tinggi serta
berulang, maka ia adalah HARAM kerana terdapat unsur judi dan gharar
yang ditegah di dalam Islam.
Ini adalah kerana apabila si
peserta meletakkan wang yurannya yang tidak dikembalikan, ia masih
tidak pasti samada berapa banyakkah diskaun yang mampu dimanfaatkannya.
Ini kerana, si pemegang kad ini mungkin pergi ke kedai yang
disenaraikan, mungkin juga tidak kerana jarak yang jauh dan sebagainya.
Akibtanya, ia boleh menjadi untung atau rugi. Ini tidak ubah seperti
berjudi, mungkin jika ada kesempatan dan nasib baik, mungkin ia akan
pergi, jika tak berkesempatan maka mungkin ia akan rugi yuran itu tanpa
sebarang penggunaan.
saya memahami perkara yang disebut di atas berdasarkan petikan web Empay di bawah :
S: Berapakah bayaran untuk menjadi ahli?
J: Untuk
menjadi ahli, anda hanya perlu membayar sebanyak RM138 untuk belian
satu lot yang melayakkan anda menerima pulangan RM32,764 walaupun anda
tidak membuat penajaan.
EM-PAY memperkenalkan 2 jenis keahlian:
1. Keahlian SILVER (Silver Member) RM 138 (bersamaan 1 Lot)
2. Keahlian GOLD (Gold Member) RM 414 (bersamaan 3 Lot)
Komentar saya :
Ini bermakna, peserta diperlukan membayar RM 138 (bersamaan 1 lot) atau
RM 414 (untuk 3 lot) untuk memperolehi kad ini, justeru ia turut
menjadi haram berdasarkan kepada keputusan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia
ini. Ia hanya akan menjadi harus apabila dihadiahkan secara percuma
oleh penganjur.
Dari banyak-banyak perkara
yang perlu disemak dalam skim ini, satu isu telah pun jelas haram.
Bagaimana pula dengan yang lain, mari kita lihat.
ISU KEDUA : MUDARABAH YANG PALSU
Berdasarkan info dari web
site EMPAY juga, ia menawarkan berikut sistem menjana keuntungan dari
kad tersebut secara piramid. Ini boleh dilihat dari :-
"EM-Pay
mempunyai satu program yang dinamakan AUTO PLACEMENT di mana melalui
program ini secara automatik ahli-ahli akan disusun dalam bentuk
susunan force matrix gandaan dua sehingga 13 level dari bilangan ahli
yang berdaftar dari seluruh dunia. Setiap ahli yang disusun melalui
program ini akan diberikan ganjaran sebanyak RM 4.00 dan bila sudah
cukup ke tahap 13 level, jumlah keseluruhan ganjaran yang anda terima
adalah sebanyak RM 32,764.00 sekiranya anda tidak menaja. Ganjaran ini
adalah hasil dari pembahagian keuntungan secara mudhrabah.
Pandangan Shariah :
Ini adalah satu penyelewengan
nama yang amat dikesali; mereka menggunakan nama ‘Mudarabah’ di tempat
yang bukan Mudarabah. Di lakukan oleh individu yang langsung tidak
mengetahui apa-apa tentang hukum hakam Pelaburan Islam. Tetapi dengan
mudah memperdaya umat Islam dengan hanya satu nama "Secara Mudharabah".
Amat mendukacitakan terdapat ramai umat Islam yang mempercayainya.
Padahal, Mudarabah mempunyai
rukun dan syarat, yang termudah adalah :- tiada sebarang keuntungan
boleh dijamin samada dalam bentuk peratusan mahupun ‘absolute amount’
seperti RM 32,764.
Bolehkah pembaca atau peserta
memberitahu saya bagaimana bentuk aqad Mudarabah yang dibuat? Siapa
pula yang berkelayakan Shariah untuk yang menyemaknya terma-termanya ?
Asas utamanya sekarang, adakah mereka mempunyai Majlis Penasihat
Shariah yang berwibawa? Siapa? Mengapa tidak dihighlightkan?. Atau
mungkin nama Penasihat Shariahnya adalah "Donald Trump" atau Ah Long
sahaja ? yang tidak beragama Islam serta tiada ilmu tentang Shariah.
Anda yakin dengan mereka? Maaf, saya tidak sama sekali menyerahkan
urusan agama saya kepada non-muslim untuk memandu.
Inilah yang dinamakan "Mudarabah Jenis Palsu". Menyalahgunakan nama Mudarabah bagi mengabui mata ramai.
Disertakan gambar rajah rukun Mudarabah ( Rujuk Shariah Standard, AAOIFI, hlm 231). Sila buka web http://www.aaoifi.com/ untuk mengethaui kredibiliti Majlis Dunia ini.
|
Rukun Mudarabah |
|
1. Rabbul Mal |
|
2. Mudarib |
|
3. Raksul Mal (Modal) |
|
4. Sighah |
|
5. Nisbah Pembahagian Keuntungan Dalam Bentuk Ratio atau Peratusan. |
|
6. Perniagaan & Kerja |
|
7. Ijab & Qabul |
ISU KETIGA : RIBA, MONEY GAME & MENIAGA WANG UNTUK MENDAPAT UNTUNG
Disebutkan juga dalam webnya :
" Setiap ahli yang disusun melalui program ini akan diberikan ganjaran sebanyak RM 4.00 dan bila sudah cukup ke tahap 13 level"
PLAN A (PLAN AKTIF)
a) BONUS TAJAAN TERUS
Setiap tajaan terus, anda diberikan bonus sebanyak RM 15.00 untuk setiap lot.
Contoh 1 :
Jika anda menaja seorang dan daftar sebanyak 1 lot anda diberikan bonus RM 15.00
Contoh 2 :
Jika anda menaja seorang dan daftar sebanyak 3 lot atas USER ID yang
sama, anda diberikan bonus sebanyak RM 15.00 X 3 = RM 45.00
Pandangan Shariah
Inilah yang dinamakan ‘money
game’ yang diharam sama sekali di dalam Islam. Allah SWT menghalalkan
jual beli dan mengharamkan Riba. Dalam Islam, untung dari perniagaan
yang halal sememangnya boleh datang dalam pelbagai bentuk tetapi
asasnya hanya dari dua sumber iaitu :-
•a) Jual Beli & Sewa
Halalnya untung dari jual
beli kerana wujudnya aset atau barang yang dijual,yang mana harga modal
pembuatan barangan itu sebagai contoh RM 2, maka dijual dengan harga RM
10 . Maka RM 8 itulah untung yang halal.
Atau anda membeli sebuah
kamera dengan harga RM 800 kemudian anda menyewakannya kepada rakan
anda untuk 1 tahun dengan bayaran setiap bulan RM 100. Maka jumlah
keseluruhan anda perolehi dalam masa setahun adalah RM 1200. Itulah
namanya untung. Dalam masa yang sama, anda masih memiliki kamera
tersebut. Ini adalah untung dari sewaan namanya.
Termasuk juga dalam katergori
ini adalah pembelian saham yang merupakan sejenis asset atau commodity
yang mempunyai nilai SERTA SAH untuk dijual. Si pemegang saham boleh
mendapat untung samada apabila ia menjual saham itu dengan harga yang
lebih tinggi dari harga yang dibelinya, atau ia simpan untuk jangka
panjang, maka ia mendapat sebahagian dari keuntungan yang dihasilkan
oleh syarikat pengeluar saham itu secara tahunan dan sebagainya.
•b) Pelaburan Mudarabah dan Musyarakah.
Iaitu sebagai contoh anda
meletakkan wang sebanyak RM 10,000 kepada pengusaha bas ekpress itu
pengurusan syarikat bas mereka, dengan persetujuan bersama bahawa dalam
setiap bulan, keuntungan bersih yang diperolehi oleh syarikat akan
dibahagikan 20 % untuk anda sebagai pelabur, dan 80% dari untung kepada
pengusaha. Maka jumlah sebenar hanya boleh diketahui bila sebulan telah
lengkap dan dikira semua pendapatan syarikat untuk bulan itu. Katalah
kentungan yang diperolehi sebanyak RM 5000. Maka 20 % dari RM 5000 akan
diberikan kepada anda sebagai pelabur, dan bakinya akan diambil oleh
syarikat. Itulah namanya Mudarabah menurut Islam. Bukannya seperti
EMPAY , anda letak RM 138, kami beri RM 32, 764 secara pasti!.
Mudarabah dan Musyarakah juga
mewajibkan kita menyemak perniagaan yang dijalankan samada menepati
Shariah atau tidak. Seperti contoh di atas, perniagaannya adalah
‘perusahaan Bas’, maka ia adalah halal.
Adapun EMPAY, apakah perniagaannya? Jawapannya adalah "perniagaan timbun dan kutip wang dari orang ramai dan kad diskaun."
Perniagaan Kad diskaun telah
saya berikan hukumnya di atas, adapun pernigaan kutip wang, kemudian
dikumpul dan dibahagi-bahagikan kepada semua peserta. Ia jelas bukanlah
perniagaan yang diiktiraf oleh Shariah, malah ia adalah Riba.
Iaitu contoh "saya beri RM 138 hari ini, awak beri saya RM 32,764 dua minggu dari sekarang"
Inilah perniagaan wang dengan wang. Yang mana dalam Islam, ia memerlukan dua syarat agar tidak berlaku Riba iaitu :
-
a) Mestilah diserahkan dalam masa yang sama.
Jika tidak berlakulah Riba Nasiah. Maka empay , serah duit hari ini,
dapat semula bulan depan sebagai contoh, jelaslah ia Riba. -
b) Mestilah nilai yang diberi adalah sama.
Iaitu Jika beri RM 138, pulang juga mesti RM 138. Tetapi EMPAY beri RM
138, pulang RM 32000. Ini lah yang dinamakan Riba Al-Fadhl. (Rujuk
Mughni al-Muhtaj, Khatib Ash-Sharbini, 2/28 ; Al-Bada’I As-Sonai’ ,
Al-Kasani, 5/183 ; Qadhaya Iqtisodiyyah Mu’asiroh, Dr Sulaiman
Al-Asyqar, 2/592 )
Kedua-dua syarat ini diambil dari hadith :
الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم
Ertinya : Emas
dengan Emas ( ditukar atau diniagakan termasuk wang kertas), perak
dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan
garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai" ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .
ISU KEEMPAT : KOMISYEN BERDASAR KEPALA & TERDAPAT SYARAT BAGI PEROLEH KOMSIYEN
Dinyatakan melalui webnya juga bahawa :-
"Program
EM-Pay meletakkan downline di bawah anda secara automatik, anda tidak
perlu cari mencari orang lagi! Program EM-Pay akan bermula dari
Malaysia, dan seterusnya kita akan berkembang ke pasaran di China, Hong
Kong, Thailand, Indonesia sehingga seluruh dunia."
Pandangan Shariah
Anda perlu membaca dengan
faham tulisan saya berkenaan MLM, dengan demikian anda mampu memahami
adakah sistem ini benar-benar MLM yang halal atau dari jenis ‘main
kepala’.
Jelasnya, ia adalah amat
jelas, ‘bermain dengan kepala’ ( komsiyen ikut kepala dan berapa ramai
ahli yang berjaya diperolehi dan bukannya komisyen jual barangan
syarikat). Justeru jelas lagi bersuluh ia adalah haram dan termasuk
dalam kategori yang disebut oleh Allah sebagai :
ولا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل
Ertinya : Dan janganlah kamu memakan harta sesame kamu dengan cara yang bathil (salah)..( Al-Baqarah : 188)
Inilah sistem piramid bentuk
cara yang salah dan tidak menepati Islam. Tambahan pula, setiap lot
yang dibeli bermakna akan menghasilkan untung yang telah ditetapkan
jumlahnya. Inilah namanya ‘Mudarabah Palsu’. Tiada jaminan untung dalam
Mudarabah sama sekali walaupun dari pihak ketiga.
Ia tidak ubah seperti ‘Fixed
Deposit’ dari satu sudut: Fixed deposit adalah satu jenis pelaburan
yang menjamin pulangan atau keuntungan dalam bentuk yang telah
ditentukan secara pasti sejak awal lagi. Sebagai contoh, jika anda
meletakkan duit pelaburan sebanyak RM 10,000 bagi tempoh 5 bulan, anda
pasti akan diberi pulangan samada jumlah tertentu (seperti RM 5,000)
atau kadar pulangan yang pasti (12 %) dari jumlah pelaburan anda. Cuma
perbezaannya adalah ia lebih teruk lagi kerana Fixed Depost tidak
meletakkan perbezaan perolehan komisyen kepada pencarian ahli.
Jaminan untung tertentu dalam
sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai
haram kerana Riba. Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah Fiqh
menyebut :
أن الخراج بالضمان
Ertinya : "(Bagi
mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi
risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti
menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)" (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; Albani : Hasan)
Justeru sebarang pelaburan
dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi.
Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah
sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia
berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin.
Ia adalah haram
APA ITU MUDARABAH YANG TULEN DALAM BENTUK PRAKTIKAL ?
Mungkin ada di antara pembaca
yang keliru pula dengan konsep Mudarabah yang sebenarnya, Sebagai
contoh untuk kefahaman, akaun pelaburan Bank-bank Islam adalah dibuat
atas asas Mudharabah?
|
Ia
Menurut
Satu
Urusan i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)
ii-
Selain Cara kiraan Mudarabah yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-
|
|
Untung Sebenar = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun 100 Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru "indicative" atau anggaran untuk bulan hadapannya seperti berikut :- 3 X 70 (pelanggan) = 2.10 100 |
|
Maka, |
Jika anda memahami apa yang
saya jelaskan di atas, maka anda akan memahami beza yang amat ketara
dengan EMPAY yang bukan dibuat di atas konsep Mudabarah.
Ada yang bertanya pula :
Adakah boleh disamakan pembelian lot Empay seperti membeli blok saham
yang membolehkan kita mendapat keuntungan ?
Ini juga tidak benar, kerana
jika seseorang membeli blok atau lot saham, tiada sebarang jaminan
modalnya terselamat dari kerugian, apatah lagi jaminan keuntungan.
Inilah bentuk pembelian dan pelaburan yang diterima Islam.
Inilah yang mungkin termasuk dalam hadith :
يأتي على الناس زمان يستحلون الربا باسم البيع
Ertinya : Akan sampai
satu zaman dimana manusia menghalalkan riba dengan menamakannya jual
beli (dan pelaburan)" ( Riwayat Al-Khattabi, 1/42 : Albani : Dhoif )
ISU KELIMA : DUA KONTRAK DALAM SATU YANG DILARANG
Web EMPAY juga menyebut :-
Secara
realitinya anda tidaklah perlu menunggu sehingga 13 level untuk
mendapat ganjaran tersebut, tetapi anda akan dibayar ganjaran ini pada setiap 2 minggu
bergantung kepada bilangan ahli yang telah disusun pada minggu
tersebut. Dalam program ini, walau pun anda seorang ahli yang pasif,
anda juga layak menerimanya dengan syarat yang paling minima.
Senario 1
Jika anda daftar 1 lot, anda berjaya menaja 2 orang, anda layak menerima 100% dari jumlah RM 65.528.00.
Senario 2
Jika anda daftar 1 lot, anda berjaya menaja 1 orang, anda layak menerima 75% dari jumlah RM 65,528.00 iaitu RM 49146.00
Senario 3
Jika anda daftar 1 lot , anda gagal menaja walaupun seorang dalam program ini, anda layak menerima 50% dari jumlah RM65,528.00 atau RM 32764.00
PANDANGAN SHARIAH
Dari gambaran ini, amat jelas
bahawa ia adalah perniagaan duit dan ‘kepala’ iaitu tajaan kepala dan
setiap bagi mendapatkan satu ‘kepala’ atau ‘lot’ adalah perlulah
memabayar sejumlah wang. Sememangnya kelihatan amat menggiurkan tetapi
malangnya, ia adalah tidak halal secara pasti tanpa syubhah lagi.
Senario 1, 3 dan 3 ini amat
jelas mengaitkan jumlah % komisyen kepada syarat peserta mencari ahli.
Inilah yang telah saya sebutkan dalam artikel MLM dahulu sebagai dua
kontrak dalam satu yang ditegah oleh Nabi SAW kerana terdapat unsur
penindasan dan ketidakadilan, selain ia juga mempunyai serba sediit
elemen perjudian. SILA BUKA http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=222&Itemid=72
Tapi dalam hal ini, ia lebih
teruk lagi kerana tiada sebarang produk yang dijual. Semuanya
bergantung kepada jumlah ahli bawahannya.
ISU KEENAM : PARA USTAZ DAN EM-PAY
Terdapat beberapa email yang
dihantar kepada saya menyebut bahawa skim ini dianggap halal oleh
beberapa orang ustaz yang telah menyertainya dengan alasan ia adalah
‘Maslahat’ dan diperlukan oleh membina kekuatan ekonomi umat Islam agar
tidak ditindas apabila berada dalam keadaan miskin.
Hakikatnya, saya amat kesal
dengan hujjah longgar tanpa bersendikan ilmu yang amanah dari individu
yang bernama ‘ustaz’ ini. Mempergunakan hujjah maslahat dengan
sewenang-wenangnya. Jika benarlah ‘langgar sahaja yang haram asal boleh
membuat keuntungan & menguatkan ekonomi’ maka saya bimbang selepas
ini, mereka ini menghalalkan rompakan bank dan rasuah pula kerana boleh
menguatkan ekonomi individu.
Jika demikian halnya, apakah
ertinya Allah SWT meletakkan segala macam jenis undang-undang untuk
mentertib dan menjaga kebaikan ummah. Dimana pula relevan hadith Nabi
yang menyebut :
الدنيا سجن المؤمن وجنة الكافر
Ertinya : Dunia ini
ibarat penjara (kerana terdapat hukum yang menjaga) bagi orang Mukmin,
dan syurga bagi si Kafir. ( Riwayat Muslim, no 2956 ; Majma az-Zawaid,
no 7974 )
Islam melarang kita melakukan
perkara haram untuk mencapai sesuatu yang baik. Kecuali di dalam
keadaan amat amat terpaksa serta tiada pilihan lain.
النية الحسنة لا تبرر الحرام
Ertinya : Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram.
Islam juga MENOLAK sama sekali konsep (Rujuk al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 36):
الغاية تبرر الوسيلة
Ertinya : Matalamat Menghalalkan Cara
الوصول إلى الحق بالخوض في الكثير من الباطل
Ertinya : Sampai kepada kebenaran melalui kertilbatan dengan pelabagi perkara bathil
Sebenarnya saya amat tidak
berminat untuk mengulas pandangan kosong para ustaz seperti ini,
cukuplah hujjah saya di atas dijadikan panduan.
Bagi mereka yang sedar akan hadith:
كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به
Ertinya : "Setiap daging
yang tumbuh dari harta kotor ( haram) maka Neraka lebih kayak untuknya"
( Riwayat At-Tabrani, 19/136 ; Al-Mughni lil ‘Iraqi, 2/9207 ; Ithaf
As-Sadat al-Muttaqin, Az-Zubaydi, 5/226)
Diharap dapat berfikir
sendiri, tidak saya nafikan skim ini nampak kelihatan begitu indah bagi
umat Islam yang memerlukan wang tambahan. Sememangnya saya cuba melihat
dari pelbagai sudut bagi mencari jika terdapat hujah yang membolehkan,
tetapi tiada, kecuali semakin membaca, semakin banyak cacatnya dari
sudut Shariah.
Justeru, di ketika wujudnya
pelaburan Islam dan amat besarnya dosa Riba, Tiada sebarang jalan untuk
membenarkan pelaburan Riba dan tidak sah ini.
Sesal di dunia pendapatan, sesal di Barzakh tiada berguna. Allah maha adil dan mengetahui akan apa yang kita perolehi.
Akhirnya, hayatilah sabda Nabi SAW :
لا تزول قدما ابن آدم يوم
القيامة من عند ربه حتى يسأل عن خمس ؛ عن عمره فيم أفناه , وعن شبابه فيم
أبلاه , وماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه , وماذا عمل فيما علم "
« Tidak akan lepas dua
kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah di
tanya lima perkara : Tentang umurnya dimana ia habiskannya, tentang
kepemuda dan kepemudiannya dimana digunakan, dan TENTANG HARTANYA DARI
MANA DATANGNYA DAN KEMANA DIBELANJAKANNYA, dan apakah yang dilakukan
dengan ilmunya » ( Riwayat At-Tirmidzi, no 2416 ; Albani : Sohih )
AKhirnya, TIDAK PERLULAH ANDA
BERASA MARAH DENGAN TULISAN INI, IA HANYALAH BOLEH MEMBANTU BAGI MEREKA
YANG MEYAKINI ADANYA ALAM BARZAKH. Adapun sesiapa yang masih yakin.
Terpulang kepada anda untuk berhujjah di akhirat kelak. Dan sekiranya
anda tidak mampu memahami kandungan jawapan saya di atas, ini bermakna
; anda belum bersedia untuk melabur di sesuatu pelaburan yang tiada
Majlis Penasihat Shariah.
Jika anda terfikir dan mencari alternatif pelaburan Islam yang sah. Sila buka
http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=279&Itemid=72
Jika anda terfikir bagaimana ingin menguruskan wang haram yang telah diterima, Sila buka link
http://www.zaharuddin.net/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=196&Itemid=72
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
27 Muharram 1428H
15 Feb 2007